Salam buat semua yang membaca entry kali ini. Telah lama tidak mencoretkan nukilan dan warkah dari hati dalam ruangan ini. Masih sibuk dengan kegiatan dan tugasan universiti di samping cuba menjinakkan diri dalam bidang penulisan. Hasrat dihati ingin menulis sebuah buku sebagai panduan perjalanan hidup. Semoga dapat memberi manfaat buat semua kelak. Hari ini rasa terpanggil untuk menulis setelah membaca status FB seorang adik atau junior di satu sekolah yang sama dahulu. Rasanya dia pun seperti remaja lain yang sedang berada di fasa paling mencabar dalam hidup iaitu menuju cabaran untuk menjalinkan perhubungan dengan bakal pasangan pilihan hatinya untuk meniti ke alam perkahwinan kelak. Tetapi berpijak di bumi yang nyata, mungkin keadaannya sebagai seorang pelajar sekarang tidak membenarkan situasi itu berlaku, walaupun menurut hukum tidaklah HARAM dan tidak pula salah menurut ADAT tetapi agak kurang sesuai dengan kapasitinya sebagai seorang pelajar dan umur yang begitu muda jika dibandingkan persiapan diri menuju alam berkenaan.
Tajuk entry kali ini ialah CARA AKU MENABUR RINDU. Di samping mempersiapkan diri dengan tuntutan rohani dan lahiriah seperti meningkatkan ilmu dan amalan agama termasuk menguasai hukum hakam yang asas seperti fiqh dan sedikit pengetahuan berkenaan tauhid dan akidah. Kita juga perlu mengamalkan setiap perkara yang telah dipelajari. Hal ini tidak pula menyebabkan kita mengabaikan tuntutan lahiriah dalam mempersiapkan diri iaitu speri kemahiran asas memasak, mengemas, menguruskan keluarga termasuklah penyediaan bajet, kenderaan dan keperluan lain seperti wang simpanan yang difikirkan perlu. Namun itu bukanlah fokus utama dalam penulisan kali ini. Nukilan pada hari ini akan memberikan beberapa cadangan yang sesuai berdasarkan lunas agama dan patuh shari'ah bagi kita sebagai asas untuk memanifestasikan kerinduan kepada seseorang.
Pertama sekali adalah dengan membiarkan diri untuk tidak berhubungan dengan bakal pasangan dalam beberapa tempoh yang lama. Dalam pada itu perhatikan jika terdapat perubahan yang berlaku. Bukanlah bermaksud tidak berhubung menyebabkan kita atau dia beralih arah. Sebaliknya adalah untuk menguatkan rasa rindu. Jika rasa rindu telah tidak tertahan, barulah berhubungan denganya melalui FB atau emel tetapi dlm tempoh masa yang lama setelah tidak berhubung. Itu pun perbualan dan perbincangan tidak melibatkan sama sekali soal perhubungan tetapi soal tugasan, kerja atau aktiviti universiti. Jika benar dia jodoh kita kelak, mesti dia faham bahawa ketika itu kita sedang rindukannya tetapi dalam masa yang sama kita mempunyai jati diri dan nilai untuk melindungkan hasrat diri yang sebenar. Sebab apa? Sebab kita MASIH BELUM HALAL. Jika kita sedar yang kita masih belum halal, maka tiada sebarang perbincangan mengenai perhubungan antara kita dan dirinya yang dibenarkan tanpa wujudnya mahram walaupun sekadar di alam maya. MENCEGAH MAKSIAT LEBIH ELOK DARIPADA MERAWAT DOSA. Bincang atau beri teguran atau nasihat mengenai tugasan atau kerja tersebut, kemudian cepat - cepat menghentikan perbualan atau chatting tersebut kerana bimbang mula-mula hajatnya lain, sampai dipertengahan lain pula jadinya.
Kedua ialah dengan cara kita tidak mempedulikan kehadirannya walaupun kita sedar dengan kehadirannya. Hal ini dapat membantu kita untuk menjaga rahsia tentang hasrat diri kita daripada diketahui oleh orang lain. Bukankah dalam Islam dianjurkan untuk MERAHSIAKAN PERTUNANGAN DAN MENGHEBAHKAN PERNIKAHAN. Inikan pula bagi yang belum bertunang, lagilah perlu untuk menjaga batas. Jika benar dia jodoh kita, pasti dia faham bahawa perbuatan kita tersebut adalah untuk menjaga kehormatan dan maruahnya daripada kata-kata sinis dan celaan orang sekelilingnya nanti. Paling penting ialah mengakui bahawa DIA BUKAN MILIK KITA TETAPI MILIK ALLAH DAN IBU BAPANYA sahaja. Selepas bernikah, barulah status dia bertambah kepada milik kita, tetapi perlu diingat bahwa dia TETAP MILIK ALLAH DAN IBU BAPANYA JUA. Jika kita sedar yang dia belum milik kita lagi, berikanlah kebebasan kepadanya untuk mempelajari asam garam kehidupan dahulu sebelum kita menjadi insan yang mempengaruhi tindakannya dalam membuat keputusan di kemudian hari. Dari sinilah kita dapat uji kematangannya dan dapat lihat sikapnya yang sebenar. Jika baik, ALHAMDULILLAH. Jika tidak baik, bantu dia untuk jadi lebih baik dalam masa yang sama kita pun perbaiki diri.
Ketiga, dapatkan berita dan perkembangan semasa Si Dia daripada teman akrabnya tanpa pengetahuan dia. Tetapi dalam masa yang sama jangan menunjuk sangat. Pandai-pandailah untuk mengawal keadaan supaya dapat mengelakkan fitnah. Hal ini akan menyebabkan dia tidak berasa kekok kerana baginya mungkin kita tidak memerhatikannya. Ya benar! kita memang tidak memerhatikannya, tetapi mengambil bantuan daripada sahabat akrabnya untuk menjadi mata dan telinga kita. Dalam masa yang sama panjatkan doa yang berterusan dan luahkan segala isi hati kepada Allah bahawa kita rindu padanya dan meminta supaya dibukakan jalan yang halal antara kita dengannya dan dijauhkan jalan-jalan yang haram antara diri kita dengannya. Sibukkan diri kita dengan banyak aktiviti dan perkara lain, ini akan membantu kita mengurangkan ingatan kepadanya tetapi bukanlah bermaksud melupakannya. Jangan risau tentang istilah zina mata dan hati kerana yang dikatakan zina mata dan hati itu apabila segala tindakan kita BOLEH MENGUNDANG SYAHWAT, maka itulah yang dinamakan zina kecil.
Akhir sekali, persiapkanlah diri dengan mengukuhkan kekuatan diri termasuklah dari segala aspek sama ada kesediaan sebagai ORANG YANG MEMIKUL AMANAH iaitu bertanggungjawab untuk memikul dosa dan beban kesalahannya di kemudian hari. Hal ini kerana dia adalah amanah buat kita. Di samping itu buatlah perancangan dan laksanakan dengan tindakan termasuklah cara untuk mempercepatkan hajat yang tersimpan di hati itu supaya dapat ditunaikan. Jika kita telah bersedia dengan kedua-dua aspek, bolehlah kita memilih melibatkan keluarga kita dan dia supaya menjadi pengantara untuk MENGHALALKAN apa yang diharamkan sebelum ini. Ingatlah bahawa perkahwinan itu melengkapkan sebahagian hidup seseorang insan, cuma kita perlu lengkapkan yang sebahagiannya lagi. Walaubagaimana pun, alam perkahwinan memang berbeza dengan alam sebelum berkahwin. Langit tidak selalunya cerah, kadang kala hujan turun sebelum kita sempat mengangkat kain yang dijemur. Oleh itu, bersedialah untuk menjadi insan yang CEKAL DAN TABAH kerana hanya insan seperti itulah yang mampu meneruskan langkah.
Salam Muhasabah dan Ingatan buat semua terutama diri ini. Semoga beroleh manfaat daripada perkongsian ini. Segala yang terbaik dan sempurna datang daripada ALLAH sedangkan kita sebagai makhluk hanya mampu memohon kepadanya. Jika dia memang ditetapkan untuk kita, jika dia memang jodoh kita kelak. Biarkan dia dengan caranya jika caranya itu tepat mengikut hukum, dan biarkan kita dengan cara kita jika cara kita juga tepat mengikut hukum. MATAHARI ITU JAUH, TETAPI CAHAYA DAN BAHANGNYA TETAP TERASA. Jika jodoh itu masih jauh di hadapan, kita tetap akan terasa dekat dan akan lebih dekat lagi setelah kita BERNIKAH dengannya.