Kuala Terengganu: Bermula dengan hanya suka-suka menikmati siput gondang sebagai hidangan namun tanpa diduga ia bertukar menjadi punca rezeki buat seorang pemuda di daerah ini.
Menurut, Mohd Zulfikar Ismail, 28, dari Padang Negara, Batu Buruk di sini, berkata, tujuh tahun lalu dia menjadikan siput gondang untuk mengubati penyakit buasir yang dihadapinya.
Katanya, selepas sembuh daripada penyakit itu dia mula menjual siput berkenaan kepada orang ramai dan dia sendiri tidak menyangka akan mendapat permintaan tinggi dari seluruh negara.
“Setiap bulan lebih 500 kilogram (kg) siput gondang terjual dan bekalan diperoleh di kawasan sekitar daerah ini bagi memenuhi permintaan.
“Selain menjual siput gondang, saya juga ada menjual siput sedut sawah yang mana permintaannya melebihi 200 kg setiap bulan, manakala siput sedut hitam sungai kira-kira 100 kg berjaya dijual,” katanya yang menjual siput itu sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, siput gondang dijual dengan harga RM10 sekilogram, siput sawah RM12 sekilogram, manakala siput hitam sungai dijual dengan harga RM9 sekilogram.
Katanya, selain mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat di negara ini, dia turut didatangi individu dari negara Thailand, yang ingin membeli siput berkenaan.
Zulfikar berkata, selain menjual siput segar dia turut mengolah siput itu kepada sambal nasi lemak yang siap dibungkus sebelum dihantar ke warung di sekitar daerah ini.
“Memandangkan permintaan semakin mendapat sambutan saya berhajat untuk membotolkan isi siput ini bagi memudahkan pengguna untuk menikmatinya.
“Selain mendapat bekalan di kawasan sawah, paya dan sungai saya turut membuat terusan dan menternak siput ini di dalam sangkar,” katanya.
Menurutnya, dianggarkan setiap bulan dia mampu memperoleh pendapatan mencecah RM4,000 hasil jualan siput berkenaan.
Katanya, dia akan terus mempromosi makanan berasaskan siput kerana makanan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Tambahnya, siput gondang yang diambil dari sawah setidaknya dapat membantu pesawah yang berdepan masalah kerosakan tanaman akibat siput berkenaan.
Sumber: hmetro