Johor Bahru: Tuan Muhammad Shahzrul Ezzaiky pernah dipandang hina kerana statusnya yang bekerja sebagai kru di syarikat pembersihan. Tanggapan itu pernah membuatkan pemuda mesra disapa Mamat itu segan untuk bercerita perihal kerja,

Namun kini tidak lagi apabila semakin selesa berkongsi pengalamannya yang mencari rezeki di Kota Singa menerusi platform TikT0k.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila Mamat memberitahu hasil pendapatannya yang mencecah hampir lima angka selepas ditukar kepada mata wang ringgit Malaysia.

Berkongsi kisahnya, Mamat, 25, yang menetap di Kangkar Pulai, di sini berkata, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan namun tidak menyangka akan terjebak dalam bidang pembersihan.

“Saya pernah bekerja sebagai anggota bomba bantuan di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor sebelum bekerja di syarikat pembersihan dekat Singapura bermula November 2019.


“Saya masuk ke sini (Singapura) dengan rakan namun mereka pulang ke Malaysia kerana tidak tahan sewaktu pandemik menyebabkan saya tinggal sendirian ketika itu.

“Pada awalnya, saya bekerja di syarikat yang lain namun gajinya agak rendah bagi menampung kos menetap di Singapura dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebetulan, syarikat tempat abang saya bekerja ada kekosongan jadi cuba mohon dan rezeki saya apabila diterima,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mamat, dia dulu adalah remaja yang nakal malah pernah dibuang sekolah namun faktor usia menyebabkannya ada kesedaran untuk berubah.

Katanya, peluang bekerja di Singapura juga mahu dimanfaatkan untuk membalas jasa ibu bapanya walaupun tidak mempunyai kelulusan tinggi.

“Ada saja yang kecam selepas saya kongsi kisah di TikT0k tetapi mulut orang tidak boleh ditutup. Saya buat tak tahu saja kerana sampai bila nak malu dan sembunyikan pekerjaan kerana lambat laun orang tahu juga.

Impian saya satu iaitu nak menggembirakan emak ayah malah setiap kali dapat gaji , saya akan dahulukn mereka.

“Niat saya berkongsi pengalaman di TikT0k pula supaya orang ramai tahu kerja macam saya ini juga boleh dapat pendapatan lumayan dan tidak seharusnya dipandang hina,” katanya.

Sumber: hmetro