Ikan bilis sering dijadikan sebagai perisa tambahan dalam hidangan goreng, sup, bubur dan sayur-sayuran. Lagi sedap jika digoreng garing dan rangup dimakan begitu sahaja seperti makan keropok.

KENAPA IKAN BILIS CEPAT LIAT DAN KENYAL?

Biasanya, selepas ikan bilis digoreng, cepat saja dah lemau dan liat. Bukannya lama pun kita hidangkan di luar.

Kenapa boleh jadi begini ya?

Ini kerana ikan bilis tersebut tidak digoreng sempurna dan masih mengandungi air di dalamnya.

PETUA GORENG IKAN BILIS YANG BETUL. ‘CONFIRM’ GARING & RANGUP!

Antara kesilapan yang selalu dilakukan ialah membasuh atau merendam ikan bilis dan tidak memastikannya benar-benar kering sebelum digoreng. Lihat lagi tips di bawah untuk mengelakkan ikan bilis daripada menjadi liat.

1. PILIH IKAN BILIS BERKUALITI

Lebih terang warna ikan bilis, lebih sedap dan kualitinya

2. KERINGKAN SEPENUHNYA

Jika rendam ikan bilis, pastikan ia benar-benar sudah kering sebelum dimasak

3. TUNGGU MINYAK BETUL-BETUL PANAS

Jika menggoreng ikan bilis, pastikan minyak sudah panas sepenuhnya

4. KAWAL API

Apabila menggoreng, perlahankan api untuk elak ikan bilis cepat hangus

5. SIMPAN DALAM BEKAS KEDAP UDARA

Masukkan ikan bilis yang sudah digoreng dalam bekas kedap udara. Tutup bekas dengan segera untuk elak ikan bilis dimasuki angin dan kurang rangup.

6. JAUHKAN KELEMBAPAN

Elak guna sudu yang basah sewaktu mengambil ikan bilis kerana ia boleh mengurangkan kerangupan ikan bilis

CARA DAPATKAN IKAN BILIS GARING DAN RANGUP MENGGUNAKAN ‘OVEN’

Selain mengamalkan petua goreng ikan bilis yang betul, anda juga boleh menggunakan ketuhar untuk mendapatkan hasil yang sama rangupnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut, rujuk langkah di bawah!

Tuang sedikit minyak masak pada ikan bilis dan bakar dalam microwave oven. Tetapkan masa selama 1 minit. Jika masih belum garing, naikkan masa kepada 20 hingga 30 saat sehingga ikan bilis garing.

Jika anda tidak suka pada rasa masin ikan bilis, rendam dulu ikan bilis dan cuci hingga bersih. Keringkan selama sejam sebelum dimasukkan dalam oven. Panaskan oven pada suhu 180 darjah selama 10 hingga 15 minit dan masukkan ikan bilis. Bakar hingga ikan bilis bertukar warna perang.

AMALKAN SELALU!

Ikan bilis yang digunakan harus berkualiti tinggi. Untuk sedapkan lagi, goreng ikan bilis bersama bawang putih. Boleh juga dicampurkan bersama sambal.

Kalau ianya digoreng sempurna dan dibakar hingga cukup garing, biasanya boleh bertahan lama hingga enam bulan!

Makan dengan nasi putih & sambal tumis pun dah cukup ‘layan’!